1. PENGENALAN

PENGENALAN KONSEP ADAT DALAM MASYARAKAT ADAT PERPATIH

 

Adat Perpatih merupakan titik pertemuan yang melibatkan adanya interaksi antara manusia dengan alam. Malah kewujudannya juga berbeza berdasarkan faktor suasana tempat dan dan persekitaran yang didiami oleh sesebuah masyarakat. Tindak balas masyarakat tersebut terhadap alam merupakan gambaran daripada corak hubungannya terhadap alam sekitar dan ekologinya. Dengan demikian dapatlah kita definisikan adat sebagai suatu sistem peraturan, norma, dan undang-undang yang bertunjang pada alam sekitar. Adat sifatnya dinamis. tidak statik, iaitu sentiasa berubah berdasarkan keperluan anggota masyarakat atau anggota adat. Dalam Islam, adat merupakan suatu rahmat Allah terhadap manusia dan sebagai simbol kebudayaan masyarakatnya. Islam juga telah mengukuhkan lagi kedudukan adat dengan mengiktirafnya sebagai sumber hukum bagi permasalahan yang tidak dapat diselesaikan, berlandaskan sumber-sumber yang disepakati daripada al-Quran, al-Sunnah, Ijmak, serta qiyas dengan syarat tidak bertentangan dengan syarak.

 

 

Firman Allah SWT: Araaf 7:199

 

A199

 

Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).

(al-A‟raaf 7:199)

 

Kenyataan ini dapat dilihat dengan jelas dalam aturan Adat Perpatih bagaimana al-Quran dan al-Sunnah nabi itu digunakan sebagai tunjang panduan yang hakiki;

 

adat bersendikan hukum

hukum bersendikan kitabullah

syarak mengata

adat memakai

kuat adat tak gaduh hukum

kuat hukum tak gaduh adat

syarak mendaki, adat menuruni

 

Kata adat tersebut jelas menunjukkan bahawa adat mempunyai relevansi yang rapat dengan hukum syarak. Akan tetapi, sering kali wujud kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang tidak memahami adat itu sendiri sehingga membawa beberapa kesan negatif, antaranya:

 

a.    Mereka menganggap semua aspek adat dan kesenian Adat Perpatih berasal daripada warisan pra-Islam yang terdiri daripada warisan Hindu, Buddha dan Animisme yang secara pastinya bertentangan dengan nilai-nilai Islam.

 

b.    Sikap mereka menganggap masyarakat Melayu terkenal sebagai golongan yang fanatik terhadap adat warisan.

 

c.     Sikap mereka sendiri yang menyamakan adat Melayu dengan adat Timur Tengah dalam kajian yang menyentuh persoalan adat di Tanah Melayu.

 

d.    Sikap mereka yang agak keras, tegas, tertutup dan tidak bertolak ansur terhadap persoalan seni.

 

e.    Sikap yang menyempitkan ruang lingkup kebudayaan itu kepada aspek kesenian semata-mata, sedangkan kebudayaan itu melebihi had tersebut’

 

f.      Sikap ekstrem yang seolah-olah menafikan peranan adat dalam kehidupan manusia.

 

PENGERTIAN ADAT

 

Perkataan adat diertikan sebagai peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun (sejak dahulukala) dalam sesuatu masyarakat (sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi).  Kadangkala juga membawa makna kebiasaan, iaitu yang sudah lumrah diterima oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat.

 

ATURAN DAN PERINCIAN EMPAT JENIS ADAT

 

Dalam konteks masyarakat  Melayu yang mengamalkan Adat Perpatih di Negeri Sembilan, adat ini telah mengalami proses perkembangan yang dinamik iaitu mengandungi makna yang luas dan mendalam seiringan dengan ajaran Islam sehinggakan secara tradisi dapat disamakan dengan kebudayaan serta dianggap sebagai the way of life. Adat ini merangkumi keseluruhan cara hidup yang ditakrif sebagai kebudayaan, undang-undang, sistem masyarakat, upacara atau istiadat, sistem sosial, kepercayaan dan segala kebiasaan yang sering dilakukan seperti cara duduk atau cara makan. Pengertian yang lebih tepat lagi ialah,  adat merupakan perlakuan atau tatacara dalam kehidupan. Dalam amalan aturan adat di Negeri Sembilan terdapat empat jenis aturan adat sebagai asas pembentukan pentadbiran dan undang-undang Adat Perpatih iaitu;

                   i.        Adat yang sebenar adat

                  ii.        Adat yang diadatkan

                 iii.        Adat yang teradat

                iv.        Adat istiadat

 

ADAT YANG SEBENAR-BENAR ADAT

 

Adat yang sebenar-benar adat ialah aturan kehidupan, pegangan dan amalan masyarakat berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Kenyataan ini boleh dibuktikan melalui falsafah Adat Perpatih yang ditunjangi iaitu “adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitabullah, syarak mengata, adat memakai”. Falsafah ini yang wajib difahami secara mendalam. Oleh yang demikian, sebarang tindakan dalam Adat Perpatih berkaitan dengan adat, adab, muafakat dan budi yang “tergeseng” dan bertentangan dengan syarak, bukanlah ajaran Adat Perpatih yang sebenar. Berdasarkan falsafahnya, kata-kata adat yang sebenar-benar adat ini berpangkal kepada hukum alam berpandukan al-Quran dan Al-Sunnah. Ketentuan alam yang hakiki, abadi dan tidak berubah-ubah. Ini dapat dinyatakan seperti kata berikut;

 

kata adat banyak kiasan

ditunjuk ia tetapi bukan

tak faham

kalau tidak direnungkan

digulung pendek

panjang direntang

walau sebesar biji labu

langit dan bumi

ada di dalam

Setitik berpantang lupa

sebaris berpantang hilang

............ itulah al-Quran

 

ADAT YANG DIADATKAN

 

Adat yang diadatkan pula membawa maksud ketetapan aturan kehidupan, pegangan dan amalan masyarakat pengamal yang diperturunkan oleh nenek moyang terdahulu berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Aturan yang disampaikan melalui kata-kata adat ini merupakan satu wasiat yang wajib dipatuhi oleh masyarakat pengamal Adat Perpatih termasuk para pemimpin adat seperti Ibu Warith, Ibu Soko, Buapak, Lembaga, Penghulu dan Undang Yang Empat. Perlu diketahui secara jelas bahawa, setiap bait kata-kata adat dalam Adat Perpatih yang diturunkan secara turun-temurun oleh nenek moyang terdahulu penuh dengan unsur tasawuf di dalamnya, mendidik manusia menjadi insan kamil kepada Khaliknya.  Sesiapa pun yang melanggar undang-undang meskipun yang melakukan itu anak pemegang adat itu sendiri, maka ia mesti dihukum seimbang dengan kesalahan yang dilakukannya berpandukan aturan yang telah ditetapkan melalui al-Quran dan al-Sunnah. “Biar mati anak jangan mati anak adat”.  Biar mati anak jangan mati adat ini dinukilkan seperti berikut ;

 

Suatu ketika dahulu, seorang anak raja telah bermukah dengan isteri orang ketika suaminya tiada di rumah. Ketika si suami pulang, anak raja tersebut sempat melarikan diri dengan terjun dari rumah tetapi keciciran kerisnya. Sang suami telah berdatang sembah kepada raja lalu bertanya, apakah hukum adat orang yang berzina? Maka jawab raja itu, hukumnya ialah hukum bunuh. Sang suami bertanya lagi, "bagaimanakah kalau tercucuk mata hitam?" Maksudnya kalau terkena keluarga sendiri. Raja menjawab "Hukumnya tetap dibunuh". Lalu sang suami mengeluarkan keris anak raja lalu dipersembahkan. Walaupun raja terkejut tetapi baginda tetap melaksanakan adat (undang-undang). Setelah disiasat, kedua-duanya mengaku salah lalu dihukum bunuh.

 

 Kata adat ada menyatakan;

 

lalu hangus,   

surut layu,

patah berkubang;

cabut layu, dianjak mati”.

biar mati anak, jangan mati adat

tak lekang dek panas

tak lapuk dek hujan;

tak kuning dek kunyit

tak lemak dek santan

 

Adat yang teradat pula merupakan pelaksanaan aturan amalan kehidupan, pegangan dan amalan masyarakat pengamal yang diterasi melalui adat, adab, muafakat dan budi. Teras adat berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Aturan ini diteladani oleh para pemimpin adat seperti Ibu Warith, Ibu Soko, Buapak, Lembaga, Penghulu dan Dato Udang Yang Empat. Para pemimpin ini bertanggungjawab untuk memimpin masyarakat pengamal adat ini jalan ke syurga di bawah kata adat;

 

 

adat bersendi hukum,

hukum bersendikan kitabullah,

syarak mengata, adat memakai

 

 

Cucuran aturan daripada al-Quran dan Al-Sunnah yang telah diperturunkan melalui adat yang sebenar-benar adat dan adat yang diadatkan tadi, akan dijadikan panduan untuk membentuk masyarakat, perlakuan dan jiwa dalam memenuhi aturan hidup bersyariat yang berteraskan adat adab, muafakat dan budi seperti kata adat berikut;

 

dapat yang kecil daripada yang besar

dapat yang besar daripada yang tua

dapat yang tua daripada yang dulu-dulu

dapat yang dulu-dulu daripada yang sudah-sudah

dapat yang sudah-sudah daripada nenek moyang

 

ADAT ISTIADAT

 

Adat Istiadat pula ialah aktiviti yang dilaksanakan dalam Adat Perpatih seperti adat nikah kahwin, pelantikan pemimpin dan semua adat yang terlingkung dalam adat seni budayanya. Pelaksanaan adat istiadat ini mesti berteraskan adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitabullah, syarak mengata adat memakai. Semua pelaksanaan adat istiadat mesti mencerminkan fahaman masyarakat pengamal termasuk pemimpin terhadap aturan adat yang sebenar-benar adat, adat yang diadatkan dan adat yang teradat. Kefahaman inilah yang akan membentuk kecemerlangan masyarakat dalam kepimpinan Adat Perpatih yang diterasi oleh adat, adab, muafakat dan budi. Kata adat ada menyatakan;

marilah dihawai sehabis rasa,

            biar dikeruk sehabis gaung,

            faham dikisai maksud diraba,

            supaya tujuan bertemu langsung.

            kata adat banyak kiasan,

            ditunjuk dia tetapi bukan,

            bergulung pendek, panjang direntang,

            tak faham kalau tak direnungkan.

 

penakik pisau seraut,

ambil galah batang lintabung,

seludang jadikan  nyiru;

nan setitik jadikan laut,

nan sekepal jadikan gunung,

alam terkembang jadikan guru.

Walaupun kata adat ini dituturkan secara lisan tetapi membawa ketetapan undang-undang dan amanah. Para pemimpin adat dan anak buah wajib mematuhi. Bukan sembarangan orang boleh menyandang pusaka. Ia harus diuji oleh anak buah. Sekiranya tua adat tidak memahami adat tersebut, maka timbullah keraguan. Contoh, sekiranya seorang Islam itu melakukan perbuatan khurafat, tidaklah bermakna Islam itu tidak baik.

Tak lapuk dek hujan

Tak lekang dek panas

Tak kuning dek kunyit

Tak lemak dek santan

Adat air cair

Adat api panas

Adat pisau melukai.

 

 

KEPENTINGAN PERALATAN ADAT

 

Adat Perpatih mempunyai nilai peradaban dan ketamadunan yang tinggi sehingga boleh membentuk sebuah institusi masyarakat yang cemerlang kepada masyarakat pengamalnya asalkan mereka benar-benar mengetahui, memahami dan mematuhi “Kata Adat” Adat Perpatih secara mendalam. Kata Adat di sini membawa maksud kata-kata adat yang diwarisi secara lisan merangkumi undang-undang, peraturan, petunjuk dan nasihat yang wajib patuhi kerana Kata-kata adat ini merupakan cucuran aturan kata-kata bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Ini adalah kerana Adat Perpatih ini dirumuskan seperti teromba berikut;

 

Adat bersendikan hukum,

hukum bersendikan kitabullah,

syarak mengata adat memakai,                       

                                                                              (Abdul Karim, 2019)

 

Menurut Rais Yatim (2017:504), sebarang tindakan yang tidak dilandaskan dengan Kata adat, menjadikan tindakan tersebut tidak sah dalam aturan Undang-undang Adat Perpatih.

 

MENANAM SIFAT KETAKWAAN KEPADA ALLAH

 

Nilai atau budaya yang diterasi melalui muafakat dan budi yang belum serasi dan sesuai ini haruslah “diluruskan” terlebih dahulu. Mana-mana adat-istiadat yang bertentang dengan al-Quran dan al- Sunnah ini, bukanlah ajaran Adat Perpatih yang sebenar. Dalam Kata Adat juga dinyatakan bahawa setitik berpantang lupa sebaris berpantang hilang. Ini membawa maksud apa sahaja yang berkait dengan adat ini harus dirujuk kepada al-Quran. Dalam Kata Adat ada menyatakan;

 

Kalau dikaji dalam-dalam,

Bertemu urat dengan isinya,

Jika dipanjat tinggi-tinggi,

Nampak pucuk dan silara,

Bertunggul berpenebangan,

Berbatang berpengabungan,

Tiap-tiap kulit ada isinya,

Tiap-tiap lafaz ada maknanya.

 

Kok diayak sehabis tepung

kok ditampi sehabis antah

 

Penakik pisau seraut

Ambil galah batang lintabung

Setitik jadikan selaut

Sekepal jadikan gunung

                        Alam terkembang menjadi guru

Biar mati anak, jangan mati adat

                       

(Hashim A. Ghani, 1974)

Inilah pemberian Allah kepada manusia yang menggunakan akal dan fikiran, tiap-tiap sesuatu yang terasa, terdengar dan terlihat diambil perhatian dan ditilik buruk baiknya, sesuai dengan firman Allah;

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ 

“Sesungguhnya pada kejadian langit-langit dan bumi, dan pertukaran malam dan siang itu adalah menjadi tanda-tanda kebesaran Allah yang menjadi pengajaran untuk mereka yang memiliki daya pemikiran (Al-Imran 190)”

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ

Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri dan duduk, dan dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi sambil berkata: "Ya Tuhan kami, Engkau tidak menciptakan ini dengan sia-sia! Maha Suci Engkau! Maka peliharalah kami dari seksa neraka." (al-Imran 191)

 

Atas kebesaran dan anugerah Allah kepada nenek moyang terdahulu yang dapat mencipta peraturan dan undang-undang adat, boleh digambarkan melalui teromba yang berlandaskan perkembangan alam sekeliling iaitu;

 

                        Dek tajam buah fikiran

                        Dek meniru meneladan,

                        Pengalaman hidup yang ditanggung

                        Menjadi contoh pada yang ada,

                        Alam terbentang menjadi guru.

(Hashim A. Ghani, 1974)

 

ATURAN KEHIDUPAN YANG DIWARISKAN

Adat perpatih bukan sahaja menjadi resam dan kebiasaan bagi orang-orang Melayu di Negeri Sembilan dalam peraturan hidup bermasyarakat sehari-hari, malah lebih daripada itu. Adat Perpatih merupakan hukum yang terjelma dalam sistem sosial masyarakatnya di samping dipakai juga dalam pentadbiran negeri, seperti yang diperkuatkan dalam perbilangan:

Biar mati anak, jangan mati adat.

Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.

Dianjak layu, dicabut mati.

Gemuk berpupuk, segar bersiram.

Berjenjang naik, bertangga turun.

Patah tumbuh, hilang berganti.

Pusaka bergilir, saka berwaris.

Adat bersendi hukum, hukum bersendi kitabullah.

Syarak mengata, adat mengikut

 

Adat Perpatih juga merangkumi peraturan hidup bermasyarakat dan berpolitik serta pentadbiran negara yang terjalin dengan konsep demokrasi. Konsep demokrasi dalam Adat Perpatih ini amat jelas dinyatakan;

Bulat air kerana pembetung

Bulat kata kerana muafakat

Ke gunung sama didaki

Ke lurah sama dituruni

Hati gajah sama dilapah,

Hati kuman sama dicecah

 

Kata adat yang sering diungkapkan bukanlah kata-kata kosong yang hanya seronok didengar tetapi merupakan satu peraturan yang menjadi pegangan dan hukum dalam sistem sosial masyarakat pengamalnya. Oleh itu sekiranya ada tanggapan yang menyebut Adat Perpatih terlalu mengongkong masyarakatnya dalam cara hidup bermasyarakat dalam masyarakatnya, perkara ini hanyalah penilaian yang amat negatif seperti menyelam air dalam tunggak.

KEPIMPINAN BERSYARIAT

 

Satu perkara yang unik dalam aturan sistem pentadbiran Adat Perpatih ialah bagaimana adat ini menyusun masyarakatnya ke arah perpaduan dengan peraturan yang sangat menarik. Peraturan  ini dapat dianggap sebagai satu susunan pentadbiran yang sangat cekap, berdisiplin dan teratur. Asas aturan Kepimpinan Adat Perpatih ini berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah. Kata adat ada menyatakan tungku tiga sejerangan,  tiga tali sepilinan. Tiga golongan tersebut ialah golongan pemimpin adat, golongan alim ulama, dan golongan cerdik pandai. Jikalau golongan ini bersatu dalam kepemimpinan maka seluruh masyarakat yang dipimpinnya iaitu, rakyat atau anak-anak buahnya, tidak akan mempersoalkan baik buruknya kepimpinan mereka. Ini adalah kerana, ketiga-tiga golongan merupakan orang cerdik pandai dalam masyarakat tersebut. Ertinya sebarang keputusan yang diambil sudah menepati kata adatnya:

 

Kok bulat boleh digolekkan

Kok pepeh boleh dilayangkan

 

Sekiranya direnungkan, amat tepat sekali, jika kita membuat tungku dengan dua buah batu sahaja bererti tidak dapat dijerangkan apa-apa pun seumpama kuali, periuk dan sebagainya. Begitulah juga halnya dengan tali, kalau dua helai atau dua pilinan sahaja, maka tentulah tidak kukuh. Bagaimana pun jikalau pilinan itu tiga, maka bererti tali itu menjadi kuat dan tidak mudah diputuskan oleh sesiapa. Begitulah diibaratkan kepada bidalan yang diciptakan oleh Dato Perpatih dalam mengatur susunan adat bermasyarakat. Tidak ada seorang pun yang dapat menyalahkan kata-kata adat yang dibuat ini berdasarkan kenyataan yang kita saksikan sendiri.

Dalam aturan Adat Perpatih di Negeri Sembilan, Dato Undang, Dato Penghulu, Dato Lembaga dan buapak, Ibu Soko dan Ibu Warith, merupakan orang-orang yang boleh diandaikan sebagai orang-orang politik yang dapat dikatakan sebagai wakil kepada rakyat sekarang ini. Dato Lembaga menjadi orang harapan dan wakil raja yang memerintah. Dato Undang dan Dato Penghulu memerintah luak, iaitu sebuah kawasan yang dapat disamakan sekarang ini dengan daerah. Bawahnya pula ada Dato’-dato’ Lembaga yang memegang suku atau waris, manakala Buapak pula memegang kuasa terhadap anak-anak buah atau rakyat. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Dato’ Lembaga seperti di Negeri Sembilan maka wakil rakyat itulah yang dapat dianggap sebagai Datuk Lembaganya, kerana merekalah yang memegang kuasa politik dan kepimpinan dalam kawasan masing-masing. Bagi Negeri Sembilan pula, wakil-wakil rakyat boleh dimasukkan dalam kategori cerdik pandai. Peranan alim ulama dalam masyarakat Melayu tidak perlu dijelaskan di sini. Peranan mereka sememangnya telah diperakui:

Terjun di langit ditampung,

memusat di bumi dipijak;

Salah kepada Tuhan mohon taubat,

salah kepada manusia mohon maaf;

Kesudahan adat ke balairung,

kesudahan dunia ke akhirat.

 

TAAT KEPADA PEMIMPIN

Adat Perpatih dan sistem pentadbirannya lahir sebelum penjajah Inggeris mempengaruhi pentadbiran Negeri Sembilan. Adat Perpatih merupakan sumber rujukan segala peraturan dalam sistem sosial masyarakatnya  atau sekarang lebih dikenali sebagai undang-undang yang mengatur cara pentadbiran politik dan hidup bermasyarakat. Adat perpatih juga telah mengajar manusia dalam sistem pentadbiran berdemokrasi paling ulung di dunia ini. Pepatah yang menyebut berjenjang naik bertangga turun itu agak jelas mencerminkan betapa kentalnya sistem demokrasi dituntut dan dipraktikkan dalam menyusun pentadbiran Adat Perpatih seperti kata perbilangannya:

Anak buah menjadikan Buapak,

Buapak menjadikan Lembaga;

Lembaga menjadikan Penghulu/Undang,

Undang menjadikan Raja.

Pepatah petitih dan perbilangan itu ialah hukum adat (undang-undang) yang menjadi pegangan dalam memutuskan satu-satu perkara berbangkit. Tetapi setelah Inggeris mencampuri pentadbiran negara maka undang-undang British telah dipakai sehingga pentadbiran mengikut sistem Adat Perpatih itu hilang dan dilenyapkan. Yang tinggal hanyalah adat istiadat yang dipakai sewaktu nikah kahwin, pembahagian pusaka, adat di istana, istiadat menghadap raja dan seumpamanya saja. Sehinggalah sekarang generasi muda telah terbawa-bawa membuat tafsiran bahawa Adat Perpatih ini sudah ketinggalan zaman, usang dan lapuk. Anggapan ini jikalau dipandang daripada satu sudut memang kedapatan benarnya. Seseorang Undang, Penghulu atau Lembaga mestilah di atas benar. Mereka tidak boleh bersikap limau masam sebelah kerana adat telah menetapkan:

Adat teluk timbunan kapal,

adat gunung timbunan kabus,

adat bukit timbunan angin.

adat pemimpin tahan diuji.

 

Seseorang pemimpin dalam adat itu mempunyai ciri-ciri yang boleh memberi tauladan kepada kepimpinannya iaitu fikir pelita hati, tenang punca bicara, hening seribu akal dan kerana sabar, benar mendatang. Selain daripada bersikap limau masam sebelah atau perahu karam sekerat dalam menjalankan keadilan adat, seseorang Undang, Penghulu, Lembaga dan buapak tidak boleh bersikap puar condong ke perut, kena ke perut dikempiskan, kena ke mata dipejamkan. Di sini amat jelas membuktikan keadilan dalam satu-satu peristiwa yang berlaku sehingga setiap pemegang teraju adat mesti mengamalkan:

tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan;

dianjak layu, dicabut mati

biar mati anak jangan mati adat.

 

Walaupun anak sendiri yang melakukan kesalahan, ia juga mesti dihukum menurut besar kecil kesalahannya itu kerana adat itu merupakan undang-undang maka adat wajib dipertahankan.

Memuliakan Orang Semenda

Orang semenda ialah lelaki yang berkahwin dengan wanita-wanita Negeri Sembilan dan merupakan orang yang dimuliakan dalam masyarakat Adat Perpatih. Maju mundurnya sesebuah keluarga yang bakal didirikan terletak kepada orang semenda. Sebelum seseorang semenda itu diterima menyemenda dalam sesuatu suku itu, tempat bakal penyemendaan tersebut akan mengadakan majlis kerapatan untuk mencari kebulatan yang dinamakan mengembang cincin dan pada waktu itu buruk baiknya seseorang itu diteliti. Ini adalah kerana, selain daripada keadilan dan hak, Adat Perpatih juga tidak memandang rendah kepada setiap orang. Tuhan telah menjadikan insan ini menurut takdirnya, maka apa pun musibat yang menimpa seseorang itu ada belaka gunanya seperti kata adat berikut.

kok cerdik teman berunding;

kok bodoh disuruh arah,

kok kuat memikul beban,

kok buta penghembus lesung.

kok pekak membakar bedil.

kok capek penghalau ayam,

kok kaya hendakkan masnya.

Kok alim hendakkan doanya,

 

Pendapat yang mengatakan bahawa orang semenda ini disuruh pergi, dipanggil datang, tidak benar sama sekali. Dalam perundangan Adat Perpatih, setiap permasalahan itu harus diselesaikan secara muafakat dan budi kerana Adat Perpatih ini bersendikan kitabullah, syarak mengata adat memakai. Kata adat ada menyatakan:

menghukum adil berkata benar,

tidak boleh berpihak-pihak;

beruk di rimba disusukan,

anak dipangku dicampakkan,

hukum adil dijalankan,

nan benar dianjak tidak.


Comments

Popular posts from this blog

LANGKAH-LANGKAH MENYEDIAKAN TEPAK BERBALUT PENGHULU LUAK TANAH MENGANDUNG

LANGKAH-LANGKAH DALAM PENYEDIAAN BUJAM

LANGKAH - LANGKAH MENYEDIAKAN SAMPAIAN SILANG GUNTING RUNCING